SYED Ahmad Kamal dijatuhi hukuman penjara satu tahun. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
SYED Ahmad Kamal dijatuhi hukuman penjara satu tahun. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Oleh Zatul Iffah Zolkiply


LELAKI berstatus duda dijatuhi hukuman penjara satu tahun di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini kerana melakukan khianat dengan merosakkan harta benda dan mengugut mahu mencederakan ibu serta adik perempuannya.

Keputusan itu dibuat Majistret Noor Mazrinie Mahmood selepas tertuduh, Syed Ahmad Kamal Syed Abdullah, 42, yang baru seminggu keluar dari Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Raub, Pahang mengaku salah terhadap dua pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan khianat sehingga menyebabkan ibunya, Tuan Sarifah Zaliha Syed Arifin, 62, menanggung kerugian RM200.

Dia yang didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan (KK) berdepan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Syed Ahmad Kamal turut didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengugut mencederakan ibu dan adik perempuannya, Sharifah Zaharah Syed Abdullah, 25.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 506 KK, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh mengaku melakukan kedua-dua kesalahan itu di sebuah rumah di Chendering, di sini antara jam 12 tengah malam hingga jam 12.15 tengah malam pada 3 Jun lalu.

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, Noor Mazrinie menjatuhkan hukuman penjara satu tahun bagi pertuduhan pertama dan lima bulan penjara bagi pertuduhan kedua.

Bagaimanapun, Noor Mazrinie mengarahkan kesemua hukuman penjara berjalan serentak bermula tarikh tertuduh ditangkap iaitu 3 Jun lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan L Rathna manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2020 @ 5:19 PM