Keadaan rumah yang musnah dalam kebakaran di Taman Seri Pantai. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Keadaan rumah yang musnah dalam kebakaran di Taman Seri Pantai. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


LELAKI yang ditahan polis kerana disyaki membakar rumahnya sendiri di Taman Seri Pantai, Alor Setar, hari ini disahkan berada di bawah pengaruh dadah.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, suspek berusia 30-an itu masih ditahan untuk membantu siasatan berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, hasil ujian saringan awal air kencing terhadapnya mendapati dia positif dadah jenis morfin.

"Kes akan dirujuk kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk siasatan lanjut.

"Selain itu, suspek disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian 9.20 pagi hari ini, suspek yang tinggal seorang diri dikatakan membakar rumahnya sendiri menyebabkan kediaman itu musnah.

Suspek yang hanya berseluar panjang tanpa baju itu dikatakan turut menghalang anggota bomba ketika sedang melakukan pemadaman kebakaran di rumahnya menyebabkan dia ditahan polis.

Lelaki itu kemudiannya dibawa ke Balai Polis Alor Setar untuk tindakan lanjut.

Berita berkaitan

'Ditahan selepas bakar rumah sendiri'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2020 @ 6:32 PM