KEMALANGAN di Muar, 31 Mei lalu menyebabkan seorang lelaki maut. FOTO ihsan Bomba.
KEMALANGAN di Muar, 31 Mei lalu menyebabkan seorang lelaki maut. FOTO ihsan Bomba.
Shamran Sarahan; Yusmizal Dolah Aling dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


PENINGKATAN kes kemalangan jalan raya sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) membimbangkan jika dibandingkan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes kemalangan jalan raya ketika PKP 1

dari 18 Mac 2020 sehingga 31 Mac 2020 adalah 5,498 kes dengan 58 kematian iaitu 392.7 kemalangan sehari.

"Jika dibandingkan, jumlah ini naik mendadak kepada 738 kemalangan sehari semasa PKPB mula berkuatkuasa pada 4 Mei 2020.

"Data PDRM menunjukkan, daripada tempoh 5 Mei 2020 sehingga 12 Mei 2020, jumlah kemalangan jalan raya adalah 5,904 kes, dengan 68 kematian.

"Daripada 13 Mei 2020 sehingga 9 Jun 2020, 25,251 kes kemalangan direkodkan dengan 231 iaitu 738 kemalangan sehari," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, bukan sekadar kehilangan nyawa dan kecederaan, kemalangan juga boleh menyebabkan peningkatan penggunaan fasiliti kesihatan untuk rawatan seperti kesesakan di Jabatan Kecemasan dan Kemalangan.

"Keadaan ini juga menyebabkan peningkatan kes pembedahan kecemasan dan separa kecemasan yang menyebabkan penggunaan katil dan Unit Rawatan Rapi (ICU) turut meningkat.

"Bekalan darah juga akan meningkat bagi merawati kes kemalangan yang menyebabkan kecederaan yang parah dan memerlukan transfusi darah," katanya dalam sidang media harian Covid-19, di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, statistik awal bagi kemalangan atau trauma yang mendapat rawatan di hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan penurunan kes trauma di antara 65 sehingga 75 peratus bagi semua negeri ketika PKP berbanding sebelum perintah itu dikuat kuasakan.

Bagaimanapun, jumlah ini meningkat 30 peratus dalam tempoh PKPB memandangkan lebih banyak kenderaan berada di jalan raya.

"KKM prihatin dan mengambil berat tentang keselamatan orang ramai terutamanya golongan pekerja yang semakin ramai berulang alik ke tempat kerja susulan pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi dan sosial.

"Peningkatan kadar ini adalah amat merisaukan memandangkan ia dijangka terus meningkat susulan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2020 @ 7:07 PM