GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nurul Hidayah Bahaudin


LIMA lelaki Bangladesh ditahan selepas dipercayai terbabit dalam sindiket pemalsuan dokumen keputusan negatif saringan Covid-19 bagi warga asing dalam serbuan di Jalan Tengkat Tong Shin, Kuala Lumpur, 9 Jun lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kelima-lima suspek berusia 26 hingga 30 tahun itu ditahan dalam serbuan, kira-kira 11 malam.

"Siasatan awal mendapati semua suspek terbabit bekerja sebagai buruh binaan di sebuah syarikat pembinaan di Kuala Lumpur.

"Dalam serbuan itu, kami merampas lima telefon bimbit pelbagai jenama dan satu salinan surat saringan Covid-19," katanya dalam kenyataan, di Kuala Lumpur, hari ini.

Mazlan berkata, pihaknya juga menerima tiga lagi laporan polis berhubung pemalsuan dokumen keputusan ujian saringan Covid-19 pada 9 dan 10 Jun lalu.

"Dalam ketiga-tiga kes itu, hospital dan makmal di sekitar Kuala Lumpur memaklumkan pihaknya menerima panggilan dan e-mel daripada majikan yang mahu mendapatkan pengesahan laporan keputusan ujian saringan Covid-19.

"Bagaimanapun, selepas semakan dilakukan mendapat nama pesakit yang dinyatakan dalam laporan keputusan ujian saringan itu tidak dapat dikesan dalam rekod berdaftar hospital dan makmal.

"Malah, doktor yang membuat saringan tidak bertugas di hospital dan makmal seperti dalam laporan keputusan ujian saringan berkenaan," katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 468/471

Kanun Keseksaan kerana kesalahan menggunakan dokumen palsu sebagai tulen.

"Selain itu, kes berkenaan juga disiasat mengikut Seksyen 22(d) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

"Usaha mengesan suspek dan mereka yang terbabit dalam pemalsuan dokumen keputusan ujian saringan Covid-19 ini sedang giat dijalankan," katanya.

Katanya, Polis Kuala Lumpur memandang serius isu pemalsuan dokumen keputusan ujian saringan itu.

Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang menyalahi undang-undang.

"Sikap tidak bertanggungjawab dan hanya mengutamakan keuntungan sebegini membahayakan orang ramai dan menjejaskan usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

"Selain itu, pihak majikan dinasihatkan supaya membuat semakan keputusan ujian saringan yang diserahkan pekerja dengan pihak pengeluar laporan sebelum membuat sebarang keputusan untuk mengambil mereka

bekerja.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung perkara itu boleh menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau menghubungi mana–mana balai polis berhampiran," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan polis menahan dua lelaki Bangladesh yang disyaki terbabit dalam sindiket pemalsuan dokumen keputusan negatif ujian saringan Covid-19 bagi warga asing pada 6 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Jun 2020 @ 9:46 AM