ANTARA dadah yang dirampas dalam serbuan berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA dadah yang dirampas dalam serbuan berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
Hamzah Osman


POLIS menahan tujuh tokan dadah dan merampas dadah seberat 19.21 gram (g) di sebuah rumah di Taman Dahlia di Langkawi, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, tujuh tokan dadah berusia di antara 22 dan 42 tahun itu ditahan pada 2.30 petang.

Katanya, semua lelaki itu dipercayai sedang membungkus dadah ketika serbuan, terkejut apabila polis menyerbu rumah berkenaan.

"Pemeriksaan di atas lantai tempat mereka duduk menemui bahan terlarang disyaki dadah heroin seberat 16.31 g dan syabu 2.90 g.

"Dalam siasatan awal, suspek mengaku mendapat bekalan dadah daripada seorang lelaki dikenali Din yang menetap di Kampung Bakau," katanya ketika dihubungi di Langkawi, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, semua suspek yang juga penduduk tempatan disiasat mengikut Seksyen 39B dan 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Sementara itu, katanya, dalam serbuan berasingan pada 3.30 pagi ini, polis menahan seorang lelaki berusia 21 tahun bersama dadah syabu seberat 5.20 g.

"Suspek yang turut memiliki tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Jun 2020 @ 9:58 AM