GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) akan meneruskan penguatkuasaan larangan merokok, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Katanya, ia berikutan kini banyak premis perniagaan dan restoran beroperasi susulan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) selain kempen memberi impak positif kepada kesejahteraan rakyat.

"Penguatkuasaan larangan merokok diteruskan, ia tidak dihentikan walaupun negara memberi fokus sepenuhnya mengekang penularan wabak Covid-19.

"Selain itu kerajaan juga sedang berusaha untuk mewujudkan rang undang-undang kawalan tembakau yang sebelum ini diletakkan di bawah Akta Makanan dan akan dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi.

"Namun kini rang undang-undang itu sedang diteliti dan oleh Pejabat Peguam Negara," katanya ditemui media selepas meninjau beberapa rumah yang rosak di Parlimen Bagan Serai akibat dilanda ribut, hari ini.

Beliau berkata, kempen larangan merokok yang dilaksanakan memberikan kebaikan kepada kepada semua orang dan ia perlu diteruskan.

Dalam perkembangan lain Noor Azmi menegaskan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 yang dilancarkan pada 29 Mei lalu, mendapati 21.3 peratus rakyat Malaysia merokok.

Katanya, tinjauan itu juga mendapati peratusan individu merokok berkurangan daripada 23 peratus ke 21 peratus kerana kerajaan melakukan pelbagai kempen membabitkan tabiat merokok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Jun 2020 @ 10:35 PM