GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nor Farhani Che Ad


JABATAN Kesihatan Negeri (JKN) Kedah menafikan dakwaan bahawa terdapat seorang kanak-kanak di Kampung Huma, Padang Hang di Alor Setar dijangkiti Covid-19 seperti yang tular di media sosial.

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah Dr Mohd Fikri Ujang berkata, setakat ini status terkini bilangan kumulatif kes positif Covid-19 di negeri itu kekal sebanyak 96 kes dan tiada pertambahan kes baharu sejak 20 Mei lalu.

Menurutnya, pada petang 13 Jun terdapat satu kes positif Covid-19 dimasukkan ke wad isolasi Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar bagi menerima rawatan lanjut.

"Kes ini membabitkan seorang pelajar tahfiz dari Negeri Sembilan yang pulang bersama ahli keluarganya yang lain untuk melawat neneknya di Alor Janggus, Alor Setar.

"Dia tiba pada awal pagi 13 Jun, setakat ini dalam keadaan stabil dan punca jangkitan masih dalam siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Mohd Fikri berkata, berita yang tular menerusi media sosial mengenai seorang kanak-kanak di Kampung Huma dijangkiti daripada saudara yang pulang ke kampung dari Negeri Sembilan adalah tidak benar.

Beliau berkata, setakat ini senarai kontak rapat keluarga dan saudara mara pesakit sudah dikenal pasti oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah yang terbabit dan ia sedang diambil tindakan.

"Mereka sudah diberi arahan untuk menjalani arahan kuarantin di rumah sehingga keputusan ujian swab Covid-19 diperolehi," katanya.

Beliau menggesa orang ramai supaya tidak tularkan sebarang berita yang tidak sahih kerana dibimbangi akan mencetuskan kegusaran dan panik dalam masyarakat.

Katanya, sebarang maklumat berkaitan Covid-19 boleh dirujuk kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) JKN Kedah yang boleh dihubungi melalui talian 04-7741174 atau emel ke [email protected].

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2020 @ 5:52 PM