KERAJAAN peka dengan rungutan orang ramai mengenai bil elektrik yang melambung tinggi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). FOTO Aswadi Alias
KERAJAAN peka dengan rungutan orang ramai mengenai bil elektrik yang melambung tinggi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). FOTO Aswadi Alias
Roselan Ab Malek


KEMENTERIAN Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Suruhanjaya Tenaga (ST) akan mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah bil elektrik melambung tinggi sehingga menimbulkan ketidakpuasan hati pengguna di seluruh negara.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan pegawai eksekutif dan pegawai kanan Tenaga Nasional Berhad (TNB) pagi hari ini dan akan bersambung lagi esok bagi mencari penyelesaian mengenai rungutan orang ramai mengenai bil yang melambung tinggi itu.

Menurutnya, kerajaan amat peka dan memahami isu yang dibangkitkan oleh rakyat dan mengambil langkah proaktif bagi memastikan ia dapat diselesaikan segera.

"Dalam mesyuarat pagi tadi, kita sudah menyatakan pandangan kementerian dan rungutan orang ramai serta meminta TNB memberi penjelasan dan mencari langkah wajar bagi menyelesaikan isu ini.

.

"Pagi esok kita akan mengadakan mesyuarat sekali lagi bersama ST dan dijangka TNB akan mengemukakan cadangan bagi menyelesaikan kemelut ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas membuat lawatan ke Pusat Santuari Gajah Kuala Gandah, Lanchang di Temerloh petang hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2020 @ 8:04 PM