WILFRED MADIUS TANGAU
WILFRED MADIUS TANGAU
Rafiqah Dahali


PARTI Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) masih kukuh walaupun dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka keluar daripada parti terbabit, hari ini.

Presidennya Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata, pihaknya akan terus berperanan menjadi rakan kerajaan negeri Sabah.

"UPKO masih kukuh. UPKO akan terus memainkan peranan yang penting sebagai rakan kongsi dalam kerajaan campuran Sabah.

"Kami menghormati keputusan mereka untuk meninggalkan UPKO seperti yang mereka umumkan.

"Buat masa ini, kami belum mendapat apa-apa pemberitahuan secara rasmi atau bertulis. Yang jelas, setelah menghubungi pemimpin kami di lapangan, UPKO tidaklah terjejas sangat," katanya.

Madius berkata, beliau sudah meminta Timbalan Ketua Bahagian UPKO Beaufort Nelson W Angang yang juga Setiausaha Agung UPKO menjalankan tugas sebagai pemangku ketua bahagian berkuatkuasa serta merta.

Dua wakil rakyat UPKO Datuk Limus Jury dan Datuk James Ratib masing-masing mengumumkan keluar parti berkuatkuasa serta-merta, hari ini.

Limus adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu manakala James ADUN Sugut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2020 @ 8:23 PM