AKHBAR. FOTO Arkib NSTP
AKHBAR. FOTO Arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi

INGIN hidup mewah, dapatkan modal berniaga dan berjudi antara faktor peminjam sanggup meminjam along walaupun menyedari risikonya jika gagal melunaskan hutang.

Penganalisis Jenayah Datuk Seri Akhbar Satar berkata, mereka yang meminjam dengan along bukan sahaja menyusahkan diri sendiri tetapi turut membabitkan ahli keluarga apabila pinjaman yang dibuat itu gagal dibayar.

Menurutnya, dia menasihatkan supaya peminjam tidak membuat pinjaman dengan along kerana kesannya amat buruk ditambah dengan kadar faedah dikenakan sangat tinggi.

"Jika pinjaman itu untuk berniaga carilah usaha lain dengan membuat pinjaman daripada institusi perbankan yang sah.

"Kadangkala mereka yang meminjam daripada along kerana tamak dan ingin untung banyak selain ada yang berjudi yang akhirnya dikejar Along selepas tidak dapat membayar," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Akhbar berkata, masyarakat perlu tahu dan sedar taktik digunakan Along yang penuh dengan tipu daya dan kekerasan.

"Saya harap kerajaan juga melihat sistem pinjaman supaya institusi perbankan atau pinjaman sah di negara ini dapat memudahkan orang ramai untuk meminjam.

"Bagaimanapun peminjam juga perlu ada integriti apabila sudah diberi pinjaman hendaklah membayarnya semula," katanya.

Harian Metro hari ini melaporkan Gerakan Banteras Along Malaysia (GBAM) menerima 10 aduan kes along dari Singapura membabitkan jumlah transaksi SG$180,000 (kira-kira RM540,000).

Pengerusi GBAM Azman Kang Abdullah berkata, rakyat tempatan dikesan menjadi 'tali barut' untuk mengutip hutang bagi kumpulan along daripada Singapura itu.

Mengulas lanjut, Azman berkata, kebanyakan mangsa mereka pernah bekerja di Singapura sebelum ini dan meminjam wang di negara terbabit sebelum pulang ke tanah air.

Berita berkaitan

Along Singapura makin berani

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2020 @ 3:26 PM