X
Suraya Roslan dan Muhaamad Hafis Nawawi


HANYA 250 orang sahaja dibenarkan untuk menghadiri mesyuarat, seminar, bengkel, kursus, latihan dan persidangan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, jumlah kehadiran maksimum itu dipersetujui Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Isnin yang meluluskan kebenaran penganjuran himpunan itu.

"Kebenaran tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) antaranya jumlah maksimum 250 orang.

"Bagaimanapun, ia tetap mengikut kapasiti ruang penganjuran, yang mesti ada penjarakan sosial. Jika dewan kecil tak boleh muat 250 orang, maka kehadiran tidak boleh maksimum.

"Kerana tetap berdasarkan ruang dewan dan penjarakan sosial mesti ada. Ia SOP wajib dalam semua perkara," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, penganjur juga perlu memastikan peserta memuat turun aplikasi MySejahtera untuk imbasan QR Code, cecair pembasmi kuman dan tiada jamuan makan secara bufet.

Katanya, makanan hanya dibenarkan secara bungkus.

"Dan pentingnya, kebenaran ini hanyalah di kawasan zon hijau sahaja," katanya.

Gambar hiasan. Arkib NSTP.
Gambar hiasan. Arkib NSTP.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2020 @ 3:03 PM