MOHAMMAD Fadino (kanan) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkaitan kes penipuan pelaburan Bitcoin Bitkingdom, di Mahkamah Majistret Kulai. FOTO Mohd Azren Jamaludinin
MOHAMMAD Fadino (kanan) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkaitan kes penipuan pelaburan Bitcoin Bitkingdom, di Mahkamah Majistret Kulai. FOTO Mohd Azren Jamaludinin
Nurul Amanina Suhaini

SEORANG ahli perniagaan dalam talian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kulai, hari ini atas tuduhan berkaitan kes penipuan pelaburan Bitcoin Bitkingdom membabitkan kerugian RM29,002.12 pada 2017.

Tertuduh, Mohammad Fadino Khairuman, 37, membuat pengakuan tidak bersalah itu di hadapan Majistret Sharifah Maleeha Syed Hussin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memperdayakan L Rajan di sebuah bank di Kulai pada 2017, dengan sengaja mendorong mangsa membuat pelaburan 10 bitcoin bernilai RM29,002.12 ke laman sesawang www.Bitkingdom.org yang dalam penguasaan tertuduh.

Tetapi pelaburan terbabit sudah ditukarkan kepada mata wang digital Aureus dengan secara paksaan, sedangkan tertuduh tahu bahawa mata wang digital Aureus tiada nilai yang setanding dengan pasaran mata wang digital Bitcoin.

Mohammad Fadino dituduh mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Majistret kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin tempatan selain menetapkan 25 Ogos ini untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen dan penetapan tarikh bicara.

Kes dikendali Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Sabiq Mohd Subri manakala tertuduh diwakili Peguam Fahmi Abd Moin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2020 @ 4:43 PM