Norzamira Che Noh


KERAJAAN Selangor bercadang melaksanakan sistem tempahan bagi individu bukan Islam yang ingin mengunjungi rumah ibadat masing-masing dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, menerusi sistem tempahan, rumah ibadat boleh menetapkan berapa ramai pengunjung yang akan berada di rumah ibadat dalam satu-satu masa.

"Kita sedang membuat persediaan supaya pengunjung membuat tempahan sebelum ke rumah ibadat, ia masih dalam proses kerana kita memerlukan beberapa maklumat sebelum melaksanakannya.

"Apabila ada sistem tempahan, Ahli Jawatankuasa (AJK) rumah ibadat boleh menentukan berapa ramai pengunjung boleh berada di dalam rumah ibadat," katanya pada sidang media di Shah Alam, hari ini.

DR SITI Mariah Mahmud ketika sidang media selepas taklimat garis panduan pembukaan semula rumah ibadat selain islam kepada orang awam dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Dewan Annex, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
DR SITI Mariah Mahmud ketika sidang media selepas taklimat garis panduan pembukaan semula rumah ibadat selain islam kepada orang awam dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Dewan Annex, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR

Beliau berkata, semua rumah ibadat bukan Islam di Selangor yang bukan di zon merah dibenarkan beroperasi seperti biasa mulai esok sekiranya AJK sudah mengikut garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Katanya, setiap rumah ibadat perlu melakukan sanitasi, membuat penandaan untuk penjarakan sosial serta menyediakan kod QR SELangkah atau MySejahtera.

"Kita akan mematuhi semua SOP ditetapkan Kerajaan Persekutuan dan hanya membuat penambahbaikan supaya tiada kekeliruan terutamanya dalam aspek umur pengunjung warga emas.

"Hanya warga emas berusia 60 hingga 70 tahun yang sihat sahaja dibenarkan ke rumah ibadat dan bagi yang berusia 70 tahun ke atas, kita minta mereka untuk tidak ke rumah ibadat buat ketika ini," katanya.

Siti Mariah berkata, ketua rumah ibadat juga diminta untuk mengawal pengunjung yang hadir.

Katanya, jika rumah ibadat serta pengunjung yang hadir tidak mengikut SOP yang ditetapkan, pihak berkuasa boleh mengambil tindakan menutup semula operasi rumah ibadat berkenaan.

Isnin lalu, Kementerian Perpaduan Negara memaklumkan kesemua 5,230 rumah ibadat bukan Islam, kecuali di kawasan zon merah dibenarkan beroperasi dengan had kapasiti satu per tiga daripada bilangan penganut bagi dewan atau ruang beribadat serta amalan penjarakan sosial.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2020 @ 6:12 PM