Gambar fail, Tan Sri Hamid Bador. FOTO BERNAMA
Gambar fail, Tan Sri Hamid Bador. FOTO BERNAMA
Balqis Jazimah Zahari


"SIAPA yang berani buat, dia tanggung. Tidak ada kompromi dalam hal ini," kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mengulas mengenai penahanan 18 penguat kuasa disyaki terbabit penyeludupan pendatang asing tanpa izin (Pati).

Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengenakan tindakan tegas kepada mana-mana pegawai atau anggota yang terbabit dalam jenayah pemerdagangan manusia, apatah lagi fokus pihaknya kini adalah mengekang kemasukan Pati.

"Sama ada daripada anggota dan pegawai PDRM sendiri, kita akan mengambil tindakan untuk menangkap mereka.

"Kita akan menjalankan siasatan untuk mendapatkan pengenalan identiti lain ahli sindiket. Ia tidak akan berhenti di situ dan ramai lagi yang akan ditangkap," katanya selepas Majlis Penyampaian Pangkat Posthumous dan Penyampaian Sumbangan Skim Ex-Gratia Bencana Kerja PDRM dan Faedah Terbitan bagi Allahyarham Koperal Safwan Mohamad Ismail di Mes Pegawai Kanan Briged Utara, Ulu Kinta, Ipoh, hari ini.

Media semalam melaporkan 18 anggota penguatkuasa termasuk seorang pegawai kanan PDRM selain anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditahan Polis Johor kerana terbabit sindiket jenayah terancang penyeludupan Pati di negeri itu, sejak 2017.

Penahanan mereka susulan tangkapan 40 suspek sindiket dalam operasi pada 4 Jun lalu.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, pihaknya sudah memutuskan satu tindakan yang perlu diambil kerana mendapati ancaman daripada aktiviti penyeludupan manusia itu.

"Perkara ini dilihat tidak berhenti dan juga berlaku berterusan (terutama) apabila kita berhadapan dengan ancaman Covid-19.

"Kita merasakan tidak boleh menunggu lebih lama lagi dan kita harus bertindak. Jadi, tangkapan itu sangat perlu dilakukan agar kita dapat menyekat sindiket dan menghapuskan pembolosan Pati," katanya.

Beliau juga memberitahu sudah berbincang dengan Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang berhubung perkara itu dan gerakan membanteras salah laku dikemudi bersama di bawah Jabatan Siasatan Jenayah dan jawatankuasa khas ATM.

Katanya, ia tidak hanya di peringkat Johor tetapi seluruh negara termasuk Sabah Sarawak yang mana ia gerakan holistik.

Berita berkaitan:

  • Seludup PATI: 18 anggota penguatkuasa ditahan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2020 @ 4:43 PM