Kereta yang menyebabkan remaja kembar kemalangan di Jalan Ara Kuda di Tasek Gelugor, malam tadi hangus dibakar. Foto Ihsan PDRM
Kereta yang menyebabkan remaja kembar kemalangan di Jalan Ara Kuda di Tasek Gelugor, malam tadi hangus dibakar. Foto Ihsan PDRM
Nur Izzati Mohamad

REMAJA kembar cedera selepas motosikal yang dinaiki mereka gagal mengelak sebuah kereta yang memasuki laluan bertentangan dalam kemalangan di Jalan Ara Kuda di Tasek Gelugor, malam tadi.

Kejadian pada 9.50 malam itu dipercayai berlaku apabila Muhd Asri Roslan,14, bersama kembarnya Muhd Azri yang masing-masing menunggang motosikal berasingan dalam perjalanan pulang ke rumah sebelum berlanggar dengan sebuah kereta yang dipandu wanita berusia 56 tahun.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pemandu wanita itu juga dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bumbung Lima, Kepala Batas selepas selesai menghantar sayur.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu wanita itu mengatakan mahu mengelak haiwan yang tiba-tiba berada di hadapannya sebelum keretanya masuk ke laluan bertentangan.

"Pada masa sama datang dua motosikal yang dinaiki kembar yang gagal mengelak lalu melanggar bahagian tepi sebelah kanan kereta wanita terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan kembar berkenaan cedera dan dibawa ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) sebelum dipindahkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut.

"Kembar itu dikatakan mengalami patah kaki kanan, cedera di tangan dan muka," katanya.

Dalam kejadian itu, kereta wanita terbabit turut dibakar penduduk kampung yang berang kononnya memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kemalangan berlaku.

Noorzainy berkata, pemandu wanita itu meninggalkan keretanya di lokasi dan dia dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara selepas kemalangan berlaku untuk membuat laporan polis.

"Hasil pemeriksaan dan ujian saringan awal pernafasan terhadap pemandu itu di dapati negatif dan dia bukan memandu di bawah pengaruh alkohol seperti yang digembar-gemburkan.

"Bagaimanapun, polis mendapat laporan bahawa kereta wanita ini dibakar yang mana pelakunya sudah dikenal pasti dan tangkapan akan dilakukan," katanya.

Noorzainy menasihati orang awam supaya tidak mengambil tindakan terburu-buru hingga melanggar undang-undang.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala perbuatan khianat pula disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, polis juga akan menyiasat individu yang menularkan insiden berkenaan dengan fakta yang diberikan tidak tepat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2020 @ 1:07 PM