FlRMANSYAH Mohd Yunus bersama anaknya, Fiona Miasara. FOTO ihsan FIRMANSYAH MOHD YUNUS
FlRMANSYAH Mohd Yunus bersama anaknya, Fiona Miasara. FOTO ihsan FIRMANSYAH MOHD YUNUS
Redzuan Muharam


USIANYA baru 25 tahun namun sudah bergelar bapa tunggal dan kini memikul tanggungjawab membesarkan satu-satunya anak sejak berpisah dengan bekas isteri, lima tahun lalu.

Demi menyara anaknya, Fiona Miasara yang berumur enam tahun, Firmansyah Mohd Yunus yang menetap di Rawang, Selangor mencari rezeki sebagai penghantar makanan.

Namun, Firmansyah tidak membuat penghantaran dengan menunggang motosikal sebaliknya hanya berjalan kaki di sekitar Bukit Bintang ke kawasan berhampiran di ibu kota pada radius sejauh satu kilometer (km).

Bercerita lanjut, Firmansyah berkata, dia baru bekerja sebagai penghantar makanan sejak dua minggu lalu iaitu selepas diberhentikan kerja di sebuah stesen minyak kerana langkah syarikat untuk mengurangkan kakitangan.

Disebabkan sukar mencari pekerjaan ketika ini, Firmansyah tiada pilihan melainkan merebut peluang yang ada iaitu dengan menjadi penghantar makanan.

"Waktu Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini susah cari kerja, tetapi saya kena ada sumber pendapatan kerana perlu menyara anak yang masih kecil.

" Disebabkan itu, saya cuba cari rezeki dalam bidang ini cuma saya tidak dapat membuat penghantaran makanan dengan menunggang motosikal sebaliknya berjalan kaki menghantar pesanan kepada pelanggan kerana tiada lesen (motosikal). Paling jauh saya berjalan kaki adalah ke Pudu," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Firmansyah, biarpun jumlah pendapatannya tidak menentu kerana bergantung dengan jumlah pesanan, dia bersyukur kerana ada pekerjaan untuk dilakukan daripada menganggur.

Berkongsi pengalaman sebagai bapa tunggal, Firmansyah berkata waktu paling sukar untuk dilaluinya adalah ketika tahun pertama berpisah dengan bekas isteri.

"Kami berkahwin selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) iaitu pada usia 18 tahun jadi rasa terduduk juga selepas berpisah kerana perlu menjalani hidup sendiri bersama anak.

"Mujurlah keluarga banyak membantu terutama emak yang menjaga anak saya ketika bekerja. Namun, adakalanya tidak mudah juga untuk membahagikan masa. Saya pernah dimarahi majikan kerana tidak dapat hadir ke tempat kerja berikutan emak tiada di rumah untuk membantu menjaga anak saya.

"Jadi, buat masa ini pekerjaan sebagai penghantar makanan bersesuaian kerana waktunya fleksibel. Selagi diberi kesihatan dan kudrat, saya akan memikul tanggungjawab membesarkan anak. Saya percaya ramai lagi bapa tunggal di luar sana berdepan situasi serta masalah lebih besar daripada saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2020 @ 4:12 PM