DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO Bernama
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO Bernama
Amir Abd Hamid


KERAJAAN membenarkan upacara perkahwinan bagi penganut bukan Islam dilaksanakan namun kehadiran tidak boleh melebihi 20 individu.

Kebenaran ini adalah bagi upacara perkahwinan bukan Islam di Rumah Ibadat dan Persatuan Agama Bukan Islam yang membabitkan Penolong Pendaftar Perkahwinan yang dilantik di bawah Seksyen 28, Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) (Akta 164).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun berkata, majlis resepsi perkahwinan masih tidak dibenarkan.

"Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersetuju untuk membenarkan upacara perkahwinan bagi penganut bukan Islam dilaksanakan.

"Upacara perkahwinan ini tidak boleh melebihi 20 orang termasuk Penolong Pendaftar Perkahwinan dan tertakluk kepada kapasiti Rumah Ibadat atau Persatuan Agama Bukan Islam dan penjarakan sosial.

"Upacara perkahwinan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Bagaimanapun majlis resepsi perkahwinan masih tidak dibenarkan untuk diadakan," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan media laporan perkembangan harian mengenai pelaksanaan PKP hari ke-96 dan hari ke-12 PKP Pemulihan (PKPP), hari ini.

Sementara itu, katanya, semalam (20 Jun 2020), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sudah membuat pemeriksaan di 16 tapak binaan di seluruh Malaysia yang membabitkan 24 penguatkuasa.

"Daripada jumlah itu, pemeriksaan CIDB mendapati sebanyak tiga tapak binaan patuh SOP yang ditetapkan manakala dua tapak binaan tidak patuh SOP dan diberi amaran manakala 11 tapak binaan lagi tidak beroperasi.

"Jumlah kumulatif tapak binaan yang mematuhi SOP sehingga semalam adalah 2,176 tapak binaan manakala 421 tapak binaan tidak patuh SOP dan diberi amaran.

"Ia termasuk 19 tapak binaan yang diarahkan tutup kerana tidak mematuhi SOP," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2020 @ 4:28 PM