MUHAMAD Zikril Azan Abdullah (dua dari kanan) bersama pegawai KPDNHEP Cawangan Kajang mengadakan sidang media sebuah premis yang menjual seluar jeans tiruan di Kajang. FOTO Aizuddin Saad
MUHAMAD Zikril Azan Abdullah (dua dari kanan) bersama pegawai KPDNHEP Cawangan Kajang mengadakan sidang media sebuah premis yang menjual seluar jeans tiruan di Kajang. FOTO Aizuddin Saad
Nurul Hidayah Bahaudin


SEBUAH premis menjual seluar jeans tiruan di Jalan Reko, Kajang, diserbu pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), semalam.

Pengarah KPDNHEP Selangor Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, serbuan itu dilakukan selepas menerima aduan dan hasil risikan dilakukan di premis berkenaan kira-kira jam 11 pagi.

"Dalam serbuan itu, kami merampas 370 seluar jeans jenama Levis dan 30 kasut pelbagai jenama didapati tiruan dianggarkan bernilai RM20,000.

"Kami turut mengambil keterangan seorang lelaki yang bekerja sebagai penjaga di premis berkenaan," katanya pada sidang media di Pejabat KPDNHEP Kajang, di sini, hari ini.

Muhamad Zikril berkata, siasatan awal mendapati premis berkenaan dipercayai digunakan sebagai lokasi menyimpan dan menjual seluar jeans tiruan itu sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

"Pada asalnya, premis itu sebuah kedai dobi. Namun disebabkan kedai berkenaan tidak beroperasi ketika PKP, sindiket berkenaan menjadikannya sebagai lokasi menyimpan serta menjual seluar jeans tiruan terbabit.

"Penutupan operasi pasar malam dan tapak jualan 'Uptown' juga dipercayai mendorong sindiket ini melakukan jualan di premis berkenaan," katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019.

"Kami memandang serius berhubung isu penjualan barang tiruan dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau syarikat yang melakukan kesalahan itu.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung barang tiruan boleh menghubungi kami melalui saluran aduan yang disediakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2020 @ 5:23 PM