GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


TERTARIK dengan tawaran pinjaman peribadi ditawarkan sebuah syarikat di Facebook (FB), seorang lelaki kerugian hampir RM8,000 apabila wang berkenaan lesap.

Kejadian bermula selepas mangsa berusia 35 tahun yang berada di rumahnya di Marang melayari FB pada 2 Jun lalu sebelum tertarik dengan pinjaman peribadi ditawarkan sebuah syarikat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud berkata, mangsa yang berminat dengan tawaran itu mengisi maklumat diminta sebelum menerima pesanan melalui WhatsApp pada hari sama daripadaa wakil syarikat berkenaan.

Beliau berkata, suspek meminta mangsa menghantar beberapa dokumen penting termasuk kad pengenalan kepadanya pada 4 Jun lalu.

"Mangsa kemudian memasukkan RM450 ke dalam akaun diberikan suspek kononnya sebagai bayaran untuk kos guaman kerana permohonan sudah diluluskan.

"Beberapa hari kemudian iaitu pada 9 Jun, mangsa membuat dua transaksi masing-masing berjumlah RM700 dan RM800 sebelum suspek memaklumkan pinjaman mangsa terpaksa ditangguhkan atas alasan kononnya lelaki terbabit mengambil masa lama.

"Suspek menjelaskan pinjaman boleh diteruskan dengan syarat mangsa perlu membayar 21 peratus daripada jumlah pinjaman ingin dibuat iaitu RM10,000 menyebabkan mangsa membatalkan hajatnya itu," katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu, hari ini.

M. Zambri berkata, mangsa sekali menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada suspek pada 18 Jun lalu yang memintanya membuat pembayaran dan mengugut akan pergi ke rumah mangsa sekiranya dia enggan menuruti arahan diberikan.

Katanya, mangsa akur dengan arahan diberikan apabila membuat dua transaksi, namun suspek sekali lagi meminta mangsa memasukkan sejumlah wang dengan alasan terdapat masalah pada permohonan dibuat.

"Mangsa yang yakin dirinya menjadi mangsa penipuan dengan kerugian keseluruhan bernilai RM7,630 mengambil keputusan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2020 @ 6:10 PM