Nor Farhani Che Ad


MAHKAMAH Sesyen Sungai Petani hari ini, menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan ke atas seorang lelaki Myanmar selepas mengaku bersalah memasuki Hutan Simpan Bukit Perak dekat Pendang, tanpa kebenaran, Mei lalu.

Nithaweng, 20, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini.

Mengikut pertuduhan, diia didakwa memasuki kawasan hutan di Kompartmen 38 Hutan Simpan Bukit Perak tanpa memiliki lesen, permit atau apa-apa kebenaran pada jam 12 tengah hari, 1 Mei lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Subseksyen 47(1) Akta Perhutanan Negara 1984 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Sebelum ini, anggota penguatkuasaan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah menahan lelaki yang menceroboh kawasan hutan dan merampas dua parang, senapang angin, lima teras kayu gaharu dan motosikal miliknya.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang pemandu lori didenda RM20,000 selepas mengaku bersalah memindahkan hasil hutan tanpa kebenaran pada Disember tahun lalu.

Mahkamah memerintahkan Mohd Zairi Morad, 40, dipenjara selama dua tahun jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa cuba memindahkan 14.16 meter padu (m3) tual pokok spesis cempedak, tanpa pas pemindah sah menggunakan lori di jalan raya Kampung Gajah Putih, Sik, pada jam 1.45 tengah hari, 3 Disember 2019.

Berikutan itu, tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Subseksyen 68(1) Akta Perhutanan Negara 1984 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

LELAKI warga Myanmar dibawa ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menceroboh Hutan Simpan Bukit Perak dekat Pendang pada Mei lalu. FOTO Nor Farhani Che Ad
LELAKI warga Myanmar dibawa ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menceroboh Hutan Simpan Bukit Perak dekat Pendang pada Mei lalu. FOTO Nor Farhani Che Ad

Hakim turut memerintahkan lori yang digunakan tertuduh dipulangkan semula kepada pemilik dan hasil hutan yang diambil dilucut hak kepada Jabatan Perhutanan Negeri Kedah.

Pendakwaan kedua-dua kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Mason Jaro Lenya Barayan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2020 @ 2:24 PM