PANGLIMA Tentera Darat menyempurnakan pemakaian pangkat kepada Pegawai Kadet Terbaik Tentera Darat, Leftenan Muda Muhamad Fairul Roslan.
PANGLIMA Tentera Darat menyempurnakan pemakaian pangkat kepada Pegawai Kadet Terbaik Tentera Darat, Leftenan Muda Muhamad Fairul Roslan.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

SERAMAI 147 graduan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Tentera Darat ditauliahkan sebagai Pegawai Muda Tentera Darat berpangkat Leftenan Muda, hari ini.

Sel Perhubungan Raya Tentera Darat dalam satu kenyataan berkata, semua pegawai kadet berkenaan berjaya menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda.

"Antaranya bidang Kejuruteraan Elektrik, Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Mekanikal, Pengurusan Sumber Manusia Pertahanan, Pengajian Strategik, Sains Komputer dan Perubatan.

"Seramai 89 graduan lelaki dan 58 graduan wanita yang berjaya menamatkan latihan akademik di UPNM dan modul ketenteraan di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK)," katanya.

Majlis Pengisytiharan Pentauliahan serta Pemakaian Pangkat Pegawai Muda Tentera Darat itu disempurnakan Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zamrose Mohd Zain di Wisma Perwira Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur, hari ini.

Majlis ringkas pengisytiharan dan pemakaian pangkat itu dilaksanakan bagi menggantikan Perbarisan Pentauliahan yang pada kebiasaannya dilakukan di padang kawad.

Pada majlis itu, Leftenan Muda Muhamad Fairul Roslan dinobatkan sebagai Pegawai Kadet Terbaik Tentera Darat.

Menurut kenyataan itu lagi, majlis berkenaan dilaksanakan secara tertutup serta pembabitan minima tanpa kehadiran ibu, bapa dan ahli keluarga seperti mana kebiasaan terdahulu, sesuai dengan norma baru serta pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 yang ditetapkan.

"Graduan dan tetamu yang hadir dikehendaki menggunakan cecair nyah kuman, menjalani saringan suhu serta mengamalkan penjarakan sosial.

"Namun, Panglima Tentera Darat berpeluang mengucapkan tahniah kepada ibu bapa graduan menerusi sidang video," katanya.

Katanya, semua graduan yang ditauliahkan mendapat perkenan Yang Dipertuan di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 17 Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2020 @ 6:58 PM