MOHD Khairiel (tengah) dan Timbalannya Deputi Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor (kiri) menunjukkan senapang angin dan barang yang dirampas di Felda Lui Timur. FOTO Abnor Hamizam.
MOHD Khairiel (tengah) dan Timbalannya Deputi Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor (kiri) menunjukkan senapang angin dan barang yang dirampas di Felda Lui Timur. FOTO Abnor Hamizam.
Abnor Hamizam Abd Manap


SEORANG anak peneroka Felda Lui Timur membeli senapang angin berharga RM100 didakwa untuk menembak haiwan perosak dusun di belakang rumah, antaranya musang dan biawak.

Bagaimanapun, tindakan itu hanya mengundang padah apabila dia ditahan polis dalam serbuan pada 4.45 petang Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Mohd Khairiel Mohd Arif berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggotanya dan Bahagian Siasatan Khas (D9) Bukit Aman.

"Siasatan mendapati suspek berusia 45 tahun membeli senapang berkenaan daripada seorang lelaki di Triang, Pahang dengan harga RM100 dan mendakwa menggunakannya bagi menembak haiwan perosak antaranya musang dan biawak di dusun di belakang rumahnya.

"Polis merampas dua laras senapang angin buatan sendiri, satu bekas tin berisi 34 butir bebola besi, satu besi 'vavle' kepala angin, satu pam angin dan telefon bimbit milik suspek," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol, hari ini.

Mohd Khairiel berkata suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah, direman selama empat hari bermula semalam hingga Sabtu ini.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2020 @ 1:40 PM