Kejadian kenderaan masuk lorong motosikal yang tular sebelum ini.
Kejadian kenderaan masuk lorong motosikal yang tular sebelum ini.
Muhaamad Hafis Nawawi


TERSALAH membuat aturan dalam aplikasi navigasi ke mod pilihan motosikal menyebabkan seorang pemandu Volvo memasuki laluan itu sehingga tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, siasatan mendapati kenderaan yang memasuki laluan motosikal itu dipandu lelaki berusia 53 tahun.

Menurutnya, lelaki berkenaan dalam perjalanan dari syarikatnya di Jalan Sungai Besi ke sebuah pusat servis kenderaan di Shah Alam melalui Lebuhraya Persekutuan dekat Petaling Jaya.

Katanya, lelaki terbabit diarahkan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk diambil keterangan selepas kejadian itu tular di media sosial.

"Lelaki berkenaan hadir memberi keterangan semalam dan maklumat awal mendapati kejadian berlaku pada 2.30 petang kelmarin.

"Siasatan awal polis mendapati pemandu terbabit menggunakan aplikasi navigasi yang menunjukkan ke arah laluan motosikal.

"Menyedari kesalahannya, dia cuba mencari jalan keluar dengan dibantu sekumpulan penunggang motosikal di jalan itu," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Nik Ezanee berkata, hasil semakan telefon bimbit, pemandu terbabit tersalah membuat aturan ke mod laluan motosikal malah ujian saringan air kencing juga mendapati dia negatif dadah.

"Pemandu terbabit dilepaskan sementara kertas siasatan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Semalam dilaporkan polis sedang mengesan pemandu kenderaan yang memasuki lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan hingga membahayakan penunggang motosikal tular di media sosial.

Siasatan awal polis mendapati kenderaan yang memasuki laluan motosikal itu didaftarkan atas nama sebuah syarikat.

Berita berkaitanPolis cari pemandu Volvo

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2020 @ 6:25 PM