KENDERAAN yang digunakan penyeludup untuk menyimpan minyak masak sebelum diseludup ke Thailand menerusi Sungai Golok. FOTO IHSAN PGA
KENDERAAN yang digunakan penyeludup untuk menyimpan minyak masak sebelum diseludup ke Thailand menerusi Sungai Golok. FOTO IHSAN PGA
Siti Rohana Idris


DUA lokasi dijadikan transit menyimpan minyak masak sebelum diseludup di Kampung Bendang Pak Yong, Tumpat, diserbu sepasukan anggota dari Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA), hari ini.

Dalam serbuan 2 pagi itu, sebanyak 816 paket minyak masak dalam 99 kotak dirampas dengan nilai dianggarkan RM4,207.50.

Pegawai Pemerintahnya, Superintendan Azhari Nusi berkata, dalam serbuan pertama pada 2 pagi, anggotanya membuat rondaan bermotosikal di kawasan Kuala Jambu dan ternampak kereta Proton Iswara di belakang rumah dan terdapat pemandu di dalam kenderaan itu.

"Semasa anggota kami menghampiri kenderaan itu, pemandu melarikan diri ke dalam semak berhampiran dan usaha mengesannya gagal.

"Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu menjumpai 51 kotak besar mengandungi minyak masak dengan setiap satu kotak mempunyai 17 paket setiap satunya seberat satu kilogram (kg)," katanya

Beliau berkata, dalam serbuan kedua pula iaitu kira-kira 100 meter dari lokasi pertama, anggotanya menemui 48 kotak minyak masak di dalam kereta Proton Saga Aeroback.

Menurutnya, pemandu kereta itu sempat melarikan diri ke dalam semak dan tidak dapat dikesan.

"Kedua-dua lelaki itu dipercayai sedang menunggu masa sesuai untuk membawa semua minyak masak itu ke tebing Sungai Golok tidak jauh dari lokasi serbuan.

"Minyak masak itu akan dibawa menyeberang Sungai Golok ke Thailand dan dijual untuk pasaran di negara jian itu.

"Kami turut merampas dua kereta digunakan itu dengan anggaran nilai RM10,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 10 (1) (a) Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2020 @ 6:26 PM