Barangan disyaki curi yang ditemui dalam sebuah kereta dipand seorang lelaki di Jalan Tebrau, Johor Bahru pada Rabu lalu. Foto Ihsan PDRM
Barangan disyaki curi yang ditemui dalam sebuah kereta dipand seorang lelaki di Jalan Tebrau, Johor Bahru pada Rabu lalu. Foto Ihsan PDRM
Omar Ahmad

LELAKI ditahan polis selepas disyaki memiliki 36 kotak susu formula pelbagai jenama dan dua karton tin minuman keras yang dipercayai dicuri dianggarkan bernilai RM1,500.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, suspek ditahan Rabu lalu pada 9.50 malam di sekitar Jalan Tebrau.

Menurutnya, anggota Unit Kereta Peronda Polis (MPV) IPD Johor Bahru Selatan membuat pemeriksaan terhadap kereta yang dinaiki suspek dan menjumpai kesemua barang-barang disyaki dicuri tersebut yang diletakkan di bahagian tempat duduk belakang.

"Hasil soal siasat awal, suspek mengaku mencuri kesemua barangan berkenaan di sebuah kedai serbaneka sekitar kawasan Tebrau.

"Barang berkenaan dipercayai dicuri untuk dijual semula dan semakan rekod juga mendapati suspek mempunyai lima rekod lampau atas kesalahan yang sama iaitu curi dalam bangunan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Padzli, hasil semakan nombor pendaftaran kereta yang dinaiki suspek juga didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Jun 2020 @ 10:08 PM