MAS Ermieyati (kiri) menyerahkan sumbangan peribadi kepada Sanisah (kanan) di rumahnya di Kampung Kuala Linggi, semalam.
MAS Ermieyati (kiri) menyerahkan sumbangan peribadi kepada Sanisah (kanan) di rumahnya di Kampung Kuala Linggi, semalam.


KEHADIRAN bayi perempuan berusia lapan hari disifatkan keluarganya sebagai 'anak ajaib' kerana ibunya tidak pernah menyedari hamil bayi berkenaan sebelum ini.

Tiada siapa menyangka Sanisah Abu Bakar, 45, mengandung, Nur Iman Amani Widodo sebelum ini, malah wanita terbabit sendiri tidak menyedari mengandung hinggalah bayinya itu dilahirkan secara pembedahan pada 19 Jun lalu.

Segalanya bermula apabila keluarga Sanisah menyangka wanita terbabit menghidap ketumbuhan dalam perut yang menyebabkan perutnya sering berasa sakit.

Widodo Sinasim, 47, berkata, dia tidak menyangka isterinya hamil sehinggalah Sanisah mengadu mengalami kesakitan yang tidak tertanggung minggu lalu.

"Doktor di Hospital Melaka memang ada melakukan ujian imbasan, tetapi tidak dapat mengesan ada bayi dalam perut isteri saya sebelum ini. Apa yang dikesan hanyalah dua ketumbuhan.

"Doktor melakukan pembedahan dan mengeluarkan ketumbuhan seberat 500 dan 800 gram, tetapi doktor terkejut apabila mendapati ada bayi dalam perutnya lalu menyelamatkan anak itu daripada perkara tidak diingini," katanya ketika menerima kunjungan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin di kediamannya di Kampung Kuala Linggi di sini, semalam.

Mas Ermieyati menyerahkan sumbangan peribadi kepada Sanisah yang dalam pantang dan mengingatkannya supaya menghabiskan waktu dengan berehat.

Widodo bagaimanapun berkata, beliau, isteri dan lima anak mereka berusia enam hingga 19 tahun menyambut kehadiran bayi itu dengan penuh kesyukuran dan menganggapnya sebagai keajaiban kerana tiada siapa menjangkakan kehadirannya.

Sementara itu, Mas Ermieyati berkata, setiap anggota komuniti harus mengutamakan aspek penjagaan kesihatan kerana ia nadi kehidupan manakala wanita harus tahu mengenai perihal kesihatan diri sendiri, terutama jika hamil.

"Amat penting untuk wanita hamil memahami aspek penjagaan kesihatan dan harus tahu sama ada mereka hamil atau sebaliknya kerana penjagaan bayi dalam kandungan berkait rapat dengan dua nyawa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Jun 2020 @ 6:00 AM