SUSPEK dan barangan yang dirampas daripadanya. FOTO Ihsan Polis
SUSPEK dan barangan yang dirampas daripadanya. FOTO Ihsan Polis
Hamzah Osman


SEORANG 'tokan' dadah wanita tidak serik melakukan kegiatan itu apabila ditahan sekali lagi kerana disyaki memiliki heroin dan syabu, kelmarin.

Wanita tempatan berusia 26 tahun itu ditahan di sebuah bilik di resort di Jalan Kuala Temonyong, di Langkawi, pada 2 pagi.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata suspek ditahan sepasukan anggota polis dari Balai Polis Padang Matsirat.

"Hasil pemeriksaan menemui satu paket lut sinar dan lima keratan penyedut minuman mengandungi heroin seberat 3.02 gram (g) dan satu paket plastik lut sinar mengandungi syabu seberat 0.42 g.

"Siasatan mendapati suspek adalah penganggur dan mendapat bekalan dadah dari seorang lelaki di Jalan Kampung Ulu Melaka," katanya ketika dihubungi di Langkawi, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, ujian air kencing mendapati suspek positif methamphetamine, selain pernah disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Polis merampas masing-masing satu penimbang digital, gunting kecil dan sejumlah bungkusan plastik lut sinar kecil dipercayai digunakan suspek untuk membungkus dadah.

"Suspek kini ditahan reman dan disiasat bawah Seksyen 39A (1) dan 12(2) ADB 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Jun 2020 @ 9:03 AM