GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

PERMOHONAN reman bagi nelayan asing yang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu hanya akan dibuat menerusi sidang video dan tidak lagi dibawa ke mahkamah seperti sebelum ini.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, langkah itu diambil bagi mengelakkan penularan pandemik Covid-19, ekoran status kesihatan nelayan asing terbabit tidak diketahui.

"Permohonan tempoh tahanan reman melalui persidangan video oleh APMM ini adalah yang pertama dilakukan di Terengganu termasuk bagi kes rampasan dua bot nelayan Vietnam dan penahanan 27 awak-awak serta tekong pada Sabtu lalu," katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Negeri Terengganu, hari ini.

Muhammad Suffi berkata, pihaknya sentiasa melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) ketat ketika menahan nelayan asing yang menceroboh perairan negara.

Selain itu, pihaknya turut melakukan saringan terhadap nelayan asing yang ditahan ketika di laut dan selepas dibawa jeti APMM berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Jun 2020 @ 5:57 PM