DR Noor Hisham Abdullah. FOTO Bernama
DR Noor Hisham Abdullah. FOTO Bernama
Amir Abd Hamid dan Nurul Hidayah Bahaudin


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan pengesanan kontak selepas dua warga Kemboja yang pulang ke negara asal dari Malaysia dikesan positif Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya sedang mengesan individu yang terdedah dengan dua warga Kemboja berkenaan.

"Kami menerima makluman berhubung perkara itu oleh pihak kesihatan Kemboja dan bertindak segera bagi mengesan mereka yang terdedah dengan dua individu disahkan positif berkenaan.

"Kami akan bekerjasama dengan syarikat penerbangan bagi mengesan individu terdedah terutama mereka yang duduk di dua barisan hadapan serta belakang pesakit berkenaan ketika di dalam penerbangan itu," katanya dalam sidang media Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, seorang daripada individu yang dikesan berkenaan adalah kes lama direkodkan di negara ini iaitu kes ke-1,051.

"Sebelum ini, individu berkenaan sudah diasingkan dan diberi rawatan sebelum dibenarkan kembali ke negara asal.

"Mungkin apabila mereka tiba di negara asal, ujian saringan dilakukan sekali lagi terhadap mereka dan didapati positif. Virus yang dikesan itu sudah mati, namun masih dikesan melalui ujian dilakukan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Jun 2020 @ 6:24 PM