Anggota Pertahanan Awan (APM) bersama Polis mengangkat mayat mangsa kejadian empat pemancing maut selepas bot dinaiki mereka terbalik dibadai ribut dan ombak besar di kawasan perairan berhampiran Kuala Kemasin untuk dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Anggota Pertahanan Awan (APM) bersama Polis mengangkat mayat mangsa kejadian empat pemancing maut selepas bot dinaiki mereka terbalik dibadai ribut dan ombak besar di kawasan perairan berhampiran Kuala Kemasin untuk dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nor Fazlina Abdul Rahim


"ABANG sangat teruja untuk keluar mencandat sotong kali ini selepas sekian lama tidak dibenarkan keluar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Saya tidak sangka keterujaannya bertukar tragedi," kata Wan Mohd Tajuddin Wan Hussin, 43, iaitu adik kepada Wan Aminuddin, 63, yang maut dalam tragedi bot terbalik di perairan Bachok, malam tadi.

Katanya, abang sulungnya itu keluar rumah selepas Solat Zuhur dan sempat dua kali berpatah balik kerana tertinggal telefon dan rokok.

"Saya dan abang tinggal bersama-sama selepas abang kematian isteri 23 tahun lalu. Kami sempat berborak dan sebelum kejadian, saya melihat Muhammad Zaki Mohd Nordin, 32, antara mangsa yang terkorban dalam kejadian itu datang ke rumah mengambil abang saya.

"Untuk aktiviti mencandat sotong kali ini, abang saya yang menguruskannya memandangkan dia berpengalaman dan mengenali pemilik bot.

"Kali ini keterujaan dia lain macam memandangkan sudah beberapa bulan tidak dibenarkan ke laut, malah aktiviti kali ini disertai rakan-rakan sekampung," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.

Dalam kejadian 8.30 malam tadi, sebuah bot yang dinaiki 20 pemancing termasuk tekong terbalik dibadai ribut akibat ombak besar di kawasan perairan Kuala Kemasin, Bachok.

Kejadian itu meragut empat nyawa, manakala 12 lagi selamat. Empat lagi pula masih belum ditemui.

Mengulas lanjut katanya, dia mengetahui kejadian itu pada 2 pagi sebelum bergegas ke HRPZ II memandangkan mayat abangnya antara yang terawal ditemui.

"Walaupun sedih dengan pemergian mengejut ini, kami sekeluarga reda dengan apa yang berlaku. Abang saya meninggalkan tiga anak," katanya.

Berita berkaitan:

  • 'Sempat rayu suami tak ke laut'
  • Empat pemancing maut, empat hilang
  • Operasi SAR kesan 4 pemancing diteruskan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 10:34 AM