Nor Amalina Alias

"PETANG semalam saya sudah berasa tidak sedap hati memikirkan anak berada di tengah laut sebab cuaca hujan, tak sangka firasat saya benar bila dapat berita anak hilang di laut," kata Ghaniah Deraman, 62, ibu kepada Ahmad Syafiq Che Alim, 29.

Ahmad Syafiq bersama tiga lagi pemancing belum ditemui selepas bot yang dinaikinya terbalik selepas dibadai ribut dan ombak besar di perairan berhampiran Kuala Kemasin di Bachok malam tadi.

Ghaniah berkata, Syafiq ada meminta wang bayaran bot dan kelengkapan peralatan sebanyak RM100 dan meminta izinnya dan suami, Che Alim Muda, 69, untuk mengikut rakannya turun ke laut pada tiga hari lalu.

Menurutnya, ia adalah kali pertama Syafiq ke laut dan memberitahu dia mahu merasai pengalaman baru.

"Wajahnya cukup berseri-seri ketika turun dari rumah dan dia sempat mengucup dan bersalaman dengan saya sebelum ke jeti bersama rakannya dikenali sebagai Zaki.

"Petang sebelum kejadian, rakan anak ada beritahu Zaki sempat telefon ke rumah dan bertanya jika cuaca di Pasir Mas hujan sebab tempat mereka dilanda ribut, itulah panggilan terakhir sebelum mereka gagal dihubungi," katanya ketika ditemui di Jeti Perikanan Kemasin hari ini.

Ghaniah berkata, dia mengetahui kejadian menimpa anak keempat daripada lima beradik itu pada 1 pagi tadi.

"Saya harap anak saya ditemui walau apa keadaan dia sekalipun, saya tunggu anak di sini dari awal pagi tadi hingga dia dibawa pulang," katanya yang tinggal di Kampung Pengkalan Pasir, Pasir Mas.

Menurutnya, Syafiq sebelum ini belajar di sekolah pondok di Dabong dan berada di rumah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

Sementara itu, Rusniwati Abdullah, 50, isteri kepada seorang lagi mangsa, Harun Daud, 57, berkata, kali terakhir dia bertemu suaminya pada 11.30 tengah hari sebelum suaminya turun ke laut.

Menurutnya, suaminya sempat menjamu selera nasi kerabu dan sup kaki ayam hasil air tangannya bersama anak sulung mereka, Mohd Ikhwan Harun, 27, yang pulang bercuti ke kampung.

"Suami ada luahkan perasaan tak mahu sertai memancing dan candat sotong sebab mahu luang lebih masa bersama anak dan cucu tetapi kemudiannya dia tetap ke laut apabila diajak rakan," katanya.

Rusniwati berkata, dia reda atas kejadian yang menimpa suaminya dan setia menunggu di jeti untuk perkembangan terkini mangsa yang masih hilang.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bachok Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Saari turut hadir ke Jeti Kuala Kemasin memberi semangat kepada keluarga mangsa yang berada di lokasi.

Difahamkan, operasi mencari dan menyelamat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kini sudah digerakkan ke lokasi bot yang terbalik bersama unit skuba.

Ahli keluarga mangsa bot terbalik berpelukan tidak dapat menahan kesedihan ketika menunggu perkembangan SAR di Jeti Perikanan Kemasin, Bachok hari ini. (Gambar kecil) Ghaniah Deraman. Foto Nor Amalina Alias
Ahli keluarga mangsa bot terbalik berpelukan tidak dapat menahan kesedihan ketika menunggu perkembangan SAR di Jeti Perikanan Kemasin, Bachok hari ini. (Gambar kecil) Ghaniah Deraman. Foto Nor Amalina Alias

Berita berkaitan:

  • Empat pemancing maut, empat hilang
  • Operasi SAR kesan 4 pemancing diteruskan
  • 'Sempat rayu suami tak ke laut' [METROTV]
  • 'Dia teruja lain macam...'
  • Tragedi bot terbalik: Tiga dirawat di wad masih trauma
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 11:23 AM