GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Amir Mamat


PENGANGGUR mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas dua pertuduhan menyimpan video lucah serta melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun, minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Tarmizi Nur Hakim Othman, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norma Ismail.

Bagaimanapun, Norma menolak pengakuan bersalah itu, sebaliknya mengarahkan tertuduh untuk mendapatkan rawatan mental terlebih dahulu di Hospital Tampoi mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah bagi pemeriksaan kesihatan dan rawatan susulan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh melakukan amang seksual bukan fizikal dengan cara membuatkan mangsa membuka seluar dan seluar dalam sehingga menampakkan kemaluan mangsa di tandas sebuah restoran makanan segera di Ayer Keroh Height, pada 9.30 malam, 22 Jun lalu.

Susulan itu, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(a)(ii) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum sehingga 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh turut didapati menyimpan video lucah di dalam telefon bimbitnya dan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mazuin Hashim itu tidak menetapkan sebarang jaminan kerana hakim menolak semua pengakuan tertuduh.

Tertuduh ketika ditanya oleh Hakim dalam mitigasinya, turut meminta dihantar ke Hospital Tampoi dan mengakui pemegang kad Orang Kelainan Upaya (OKU) selain tidak pandai membaca.

Norma dalam penghakimannya, menetapkan 30 Julai depan bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 1:38 PM