Lara Khadijah Anuar McAfee (tengah) menerima pengiktirafan daripada Pengarah Pendidikan Terengganu, Salim Ab Ghani (kiri) sebagai Murid Unggul Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman semalam atas keberaniannya menulis dan mengutus surat kepada Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah Mac lalu. FOTO Malik Muhamad
Lara Khadijah Anuar McAfee (tengah) menerima pengiktirafan daripada Pengarah Pendidikan Terengganu, Salim Ab Ghani (kiri) sebagai Murid Unggul Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman semalam atas keberaniannya menulis dan mengutus surat kepada Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah Mac lalu. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


"SAYA nak jumpa Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah nak ucapkan tahniah," kata Lara Khadijah Anuar McAfee.

Murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Budiman, Kuala Terengganu itu berkata demikian selepas gembira dengan 'jeneral' Covid-19 itu bersama pasukannya dalam memerangi wabak pandemik Covid-19 di negara ini.

Sebelum ini, surat bertulisan tangan dan diutus Lara Khadijah serta gelang tangan 'loom band' kepada Dr Noor Hisham bertarikh 19 Mac 2020 lalu bagi menzahirkan tanda penghargaan serta terima kasih atas pengorbanannya dan pasukan barisan hadapan dalam mengekang penularan wabak Covid-19 serta surat balas daripada Dr Noor Hisham, tular di media sosial.

Anak bongsu kepada pasangan Pengarah Pusat Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Anuar McAfee dan Eksekutif Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan Terengganu Incorporated, Mutiara Jusuf yang kini menetap di Seberang Takir, Kuala Nerus itu faham jika permintaannya tidak dapat dipenuhi buat masa ini.

"Saya sanggup pergi Kuala Lumpur bersama ibu bapa kerana nak jumpa dengan Dr (Noor Hisham), tapi jika beliau nak datang ke sekolah kami, lagilah saya gembira.

"Namun jika tak dapat jumpa Dr (Noor Hisham) kerana saya faham kesibukannya, saya akan utus sekali lagi surat untuk mengucapkan tahniah kerana kejayaannya bersama pasukan mengurangkan jumlah jangkitan Covid-19," katanya ketika di temui pada program Bicara Profesional Pengarah Pendidikan Terengganu dan Pelancaran Buku Peneraju Kecemerlangan Pendidikan (PKP) versi 2.0 Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Terengganu (PPDKT) di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman (SMKSS), semalam.

Pada majlis itu, Lara Khadijah yang bercita-cita menjadi guru selain teruja untuk kembali semula ke sekolah selepas lebih tiga bulan bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), menerima pengiktirafan Murid Unggul PPDKT yang disampaikan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Salim Ab Ghani.

Sementara itu, Anuar berkata, sebagai ayah dia menyokong apa-apa usaha bermanfaat dilakukan anaknya itu.

"Ketika tempoh PKP sebelum memasuki fasa bersyarat dan pemulihan, saya ada cadang kepada Lara menulis surat kepada Dr Noor Hisham untuk menyokong kerajaan dan kementerian kesihatan bagi memerangi Covid-19.

"Alhamdulillah surat berkenaan mendapat perhatian daripada ketua pengarah selain menyentuh perasaan rakyat Malaysia," ujar Anuar yang berasal dari Kanada.

Sementara itu, Pegawai PPDKT, Jelani Sulong berkata, Anugerah Ikon Murid Unggul diberikan kepada Lara Khadijah adalah atas sahsiahnya yang terpuji.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 4:12 PM