ARIFFIN (dua dari kanan) memberi susu kepada gajah di Perkampungan Konservasi Gajah Kenyir (KECV) sambil diperhatikan Ching Yang. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
ARIFFIN (dua dari kanan) memberi susu kepada gajah di Perkampungan Konservasi Gajah Kenyir (KECV) sambil diperhatikan Ching Yang. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Zatul Iffah Zolkiply


PERKAMPUNGAN Konservasi Gajah Kenyir (KECV), Kuala Berang kembali dibuka bermula esok selepas lebih tiga bulan ditutup susulan pandemik Covid-19.

Malah, pengunjung bakal menikmati harga istimewa dengan potongan hampir separuh harga tiket.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, pengurangan harga tiket dibuat bagi menarik lebih ramai pengunjung ke KECV, sekali gus meningkatkan eko-pelancongan Terengganu yang menyokong kepada pemuliharaan dan pemeliharaan flora dan fauna.

"Harga tiket baru di KECV dipecahkan kepada dua kategori iaitu warganegara dan bukan warganegara membabitkan empat pecahan harga.

"Bagi kategori warganegara, sebanyak RM25 ditetapkan bagi pengunjung berusia 13 tahun dan ke atas berbanding RM40, RM15 (tujuh hingga 12 tahun); RM5 (satu hingga enam tahun) dan percuma (bayi berusia 11 bulan ke bawah).

"Bagi kategori bukan warganegara, RM50 (13 tahun dan ke atas); RM30 (tujuh hingga 12 tahun);RM 10 (satu hingga enam tahun) dan percuma bagi pengunjung berusia 11 bulan ke bawah.

"Kita harap penurunan harga ini dapat menambah jumlah pengunjung apabila tahun lalu hampir 16,000 orang hadir ke KECV dengan 25 peratus adalah pelancong asing," katanya pada Majlis Pembukaan dan Harga Tiket Masuk Baru KECV di Tasik Kenyir, Kuala Berang, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Pelancongan Negeri Ab Rasid Jusoh dan Pengarah Urusan, S Bina Management Sdn Bhd yang bertanggungjawab mengelola dan menyelia KECV, Ang Ching Yang.

Ariffin berkata, terdapat dua aktiviti di KECV dibatalkan iaitu pembentangan pendidikan gajah dan menunggang gajah berikutan penularan Covid-19.

Bagaimanapun, katanya, empat aktiviti dikekalkan iaitu menaiki jambatan gantung sambil melihat kehidupan gajah, interaksi bersama gajah, memberi gajah makan dan melihat gajah mandi.

"Terdapat satu lagi aktiviti baru iaitu menyusukan anak gajah dengan bayaran bermula antara RM5 hingga RM20 mengikut saiz botol.

"Kita mengehadkan 400 pengunjung pada satu-satu masa dengan semua yang datang perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 4:38 PM