MUHYIDDIN YASSIN
MUHYIDDIN YASSIN
Yusmizal Dolah Aling


KUALA LUMPUR: Seluruh jentera akar umbi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pekan digerakkan untuk berkempen menyokong calon bagi pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun Chini), Mohd Shahrim Md Zain bagi memastikan kemenangan pertama Perikatan Nasional (PN).

Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Bersatu menyokong calon yang diputuskan Barisan Nasional (BN) itu dan gerakan kempen diperkuatkan lagi dengan kehadiran pemimpin kanan Bersatu dari seluruh negara.

Katanya, kesepakatan dan kematangan parti PN untuk berkempen dan berkongsi pentas politik secara terbuka di pilihan raya kecil berkenaan adalah satu langkah bersejarah ke arah pembentukan perikatan itu menjadi gabungan politik mantap.

"Oleh itu kemenangan calon BN yang mewakili PN dalam PRK Chini bakal memberi isyarat kepada seluruh rakyat Malaysia mengenai keupayaan PN sebagai gabungan parti politik yang mampu bekerjasama untuk menjayakan agenda kebajikan rakyat dan kemajuan negara.

"Saya menyeru kepada 20,990 pengundi berdaftar di Dun Chini keluar beramai-ramai dan memberikan sokongan padu kepada calon BN pada 4 Julai akan datang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pilihan pengundi bukan saja bakal menentukan pembangunan serta masa depan Chini, tetapi membuka lembaran baharu kepada hala tuju politik di peringkat nasional.

PRK DUN Chini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Mohd Sharim, 41, dan dua calon Bebas Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 4:50 PM