DR AHMAD Fadzli dan Elya Marini selepas sidang media di MPK. FOTO RUWAIDA MD ZAIN
DR AHMAD Fadzli dan Elya Marini selepas sidang media di MPK. FOTO RUWAIDA MD ZAIN
Ruwaida Md Zain


MAJLIS Perbandaran Klang (MPK) meletakkan anggota penguat kuasa di sekitar Bandar Sultan Suleiman, Klang untuk memantau kawasan yang dipercayai dijadikan tapak pasar malam secara haram oleh warga asing.

Tindakan itu diambil selepas pihaknya menerima aduan daripada penduduk setempat yang mendakwa pasar malam terbabit kembali beroperasi walaupun pernah digempur dan diarah tutup sebelum ini.

Tidak cukup dengan itu, penduduk turut mendakwa lokasi terbabit kotor dan dipenuhi sampah.

Yang Dipertua MPK, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, pasar malam haram itu kembali aktif selepas operasinya diarah dihentikan kira-kira enam bulan lalu.

"(Namun) Semalam, MPK menerima aduan daripada penduduk tempatan di situ mengenai sebahagian warga asing menjalankan aktiviti perniagaan pasar malam secara haram sekitar jam 6 petang hingga 9 atau 10 malam terutamanya pada hari minggu.

"Kita juga dimaklumkan terdapat kira-kira 15 peniaga warga asing yang berniaga di pasar malam haram itu, ada yang berniaga makanan, pakaian, keperluan rumah dan runcit," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Penuh Bulanan Bil. 4/2020 MPK, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan YDP MPK, Elya Marini Darmin.

Ahmad Fadzli berkata, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pasar malam itu tidak beroperasi, tetapi berani berbuat demikian kebelakangan ini.

Beliau berkata, pihaknya juga kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab warga asing yang berniaga di situ kerana menyebabkan kawasan tercemar.

"Kalau kita lihat kawasan persekitaran itu banyak sampah, manakala longkang tersumbat, selain tong penuh dan sampah berselerakan di sekitar tong sampah.

"Untuk makluman, kerja pembersihan adalah di bawah penyeliaan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) tetapi pusingan pembersihan KDEB itu tidak mampu membersihkan sampah yang begitu banyak dibuang oleh warga asing.

"Jadi untuk pembersihan kawasan sekitar terutamanya dari segi premis perniagaan masih di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan belum diserahkan kepada MPK lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 5:04 PM