Nurul Amanina Suhaini

OPERASI Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang 3 di Pasir Gudang, diteruskan seperti biasa walaupun tiga bilik di bangunan berkenaan terbakar, pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri Mazlan Bujang berkata, pihaknya dimaklumkan, kebakaran itu menyebabkan sekolah berkenaan kerugian hampir RM1 juta.

"Ada 250 pelajar tingkatan lima, 81 guru, sembilan kakitangan, empat tukang cuci dan tiga pekerja kantin berada di sekolah ketika kejadian.

"Semua pelajar serta petugas selamat. Pelajar dikumpulkan di lokasi perhimpunan kecemasan di padang sekolah," katanya ditemui di sekolah berkenaan.

Menurut Mazlan, punca kebakaran masih disiasat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Kerugian pula membabitkan peralatan komputer dan struktur bumbung.

"Pejabat Pendidikan Daerah akan mengadakan mesyuarat khas untuk membincangkan kerugian dialami sekolah selain mencari sumber kewangan untuk disalurkan kepada sekolah berkenaan.

"Daripada segi bajet Kerajaan Pusat, kalau ada 'budget emergency', kita (kerajaan negeri) bagi. Kalau tidak, kita akan mohon untuk dapatkan peruntukan tambahan.

"Sekolah tidak tutup, beroperasi seperti biasa kerana kapasiti ini (250 orang) boleh menampung, ada bilik darjah lain," katanya.

Terdahulu, tiga bilik di bangunan berkenaan terbakar jam 9.57 pagi tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Penguasa Kanan Bomba (PgKB) I Mohamad Faizul Selamat berkata, 24 anggota bergegas ke lokasi sebaik pihaknya menerima panggilan kebakaran.

"Seramai 24 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian. Kebakaran membabitkan bilik stor am, bilik sejarah dan bilik akses di tingkat tiga bangunan.

"Kejadian menyebabkan kira-kira 80 peratus bilik stor am dan bilik akses terbakar. Kerosakan di bilik sejarah pula kira-kira lima peratus," katanya.

MAZLAN (kanan) diiringi Pegawai Pendidikan Daerah Pasir Gudang, Kuswandi Tayen melawat kesan kebakaran bangunan sekolah di SMK Pasir Gudang 3, Pasir Gudang. FOTOMohd Azren Jamaludin
MAZLAN (kanan) diiringi Pegawai Pendidikan Daerah Pasir Gudang, Kuswandi Tayen melawat kesan kebakaran bangunan sekolah di SMK Pasir Gudang 3, Pasir Gudang. FOTOMohd Azren Jamaludin

Berita berkaitan

3 bilik SMK Pasir Gudang 3 terbakar [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 5:23 PM