ANTARA motosikal yang ditahan dalam Ops Khas Motosikal.
ANTARA motosikal yang ditahan dalam Ops Khas Motosikal.


SEJUMLAH 757 saman dikeluarkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri terhadap penunggang motosikal dalam Operasi Khas Motosikal, di tiga Plaza Tol utama di Melaka, kelmarin.

Operasi itu dijalankan di laluan keluar dan masuk motosikal di Plaza Tol Ayer Keroh, Simpang Ampat dan Lipat Kajang antara jam 4 petang hingga 9 malam.

Ketua JSPT negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, kesemua saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik dilakukan penunggang motosikal.

"Daripada jumlah itu, saman tertinggi direkodkan di Plaza Tol Ayer Keroh dengan 477 dan diikuti Plaza Tol Simpang Ampat (224) serta Plaza Tol Lipat Kajang (56).

"Tiga kesalahan tertinggi direkodkan dalam operasi lima jam itu adalah nombor pendaftaran tidak ikut peraturan dan fancy dengan 160 saman; tiada lesen memandu (77) dan ubah suai ekzos (64)," katanya.

Beliau berkata, individu yang ditahan dalam operasi itu berusia antara 19 hingga 25 tahun.

"Sebanyak 42 motosikal turut disita atas kesalahan tiada lesen memandu dan melakukan ubah suai motosikal tanpa mengikut spesifikasi dibenarkan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi pemeriksaan dan tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 5:38 PM