X
WAKIL Pimpinan Kelab Mahasiswa Umno (UMNOSISWA) Muhammad Izzat Hakim Mohd Noh (tengah) menunjukkan laporan polis yang buat terhadap isu penghinaan Jata Negara di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang. FOTO Aswadi Alias
WAKIL Pimpinan Kelab Mahasiswa Umno (UMNOSISWA) Muhammad Izzat Hakim Mohd Noh (tengah) menunjukkan laporan polis yang buat terhadap isu penghinaan Jata Negara di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang. FOTO Aswadi Alias
Muhaamad Hafis Nawawi


UNIT Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman menyerbu syarikat di Petaling Jaya yang dikaitkan dengan penerbitan buku menghina Jata Negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, serbuan dijalankan 3 petang tadi yang mana hasil siasatan mendapati sebanyak 1,000 buku dicetak.

Menurutnya, polis sudah mengenal pasti dan mendapat alamat pencetak dengan 313 buku masih disimpan manakala 687 sudah diedar secara dalam talian.

"Kita sekarang dalam proses untuk meneliti kandungan buku itu dan sudah mengenal pasti individu yang mereka kulit buku.

"Selepas meneliti barulah mereka ini akan dipanggil membantu siasatan dan tangkapan akan dibuat jika perlu," katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Huzir berkata, setakat ini sebanyak 32 laporan polis sudah diterimanya berhubung buku terbabit.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) (Pindaan) 2016, Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 8 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984," katanya.

Harian Metro semalam melaporkan polis akan memanggil individu yang dikaitkan dengan penerbitan sebuah buku yang didakwa menghina Jata Negara.

Terdahulu tular di media sosial dan mendapat kecaman netizen berhubung sebuah buku bertajuk 'Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia' disunting oleh penulis, Kean Wong yang mana mempamerkan sebuah logo mirip Jata Negara yang diubah suai sebagai penghias muka hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 6:09 PM