BERNAMA

KERAJAAN memandang serius penyalahgunaan dan pengubahsuaian Jata Persekutuan oleh mana-mana pihak tanpa kebenaran, menurut Jabatan Perdana Menteri (JPM).

JPM turut menegaskan ia adalah kesalahan di bawah Akta 414 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963.

JPM dalam satu kenyataan berhubung penggunaan tidak wajar Jata Persekutuan memetik Seksyen 3 (1) Akta 414 yang menyatakan: "Walau apa pun apa-apa jua yang terkandung dalam mana-mana undang-undang yang sedang berkuat kuasa, tiada seorang pun boleh, kecuali dengan kebenaran bertulis Menteri."

Ia membabitkan mengguna apa-apa nama ternyata atau lambang ternyata atau apa-apa tiruan serupa mengenainya bagi maksud apa-apa perdagangan, perniagaan, pekerjaan atau profesion.

Ia juga memperuntukkan larangan untuk mengguna bagi maksud, atau memperagakan sebagai suatu iklan bagi, apa-apa perniagaan, perdagangan, pekerjaan atau profesion, atau menjual apa-apa fotograf, lukisan atau rupaan lain gambar Yang di-Pertuan Agong atau Raja Permaisuri Agong.

Ini juga termasuk larangan mengguna atau terus mengguna apa-apa nama ternyata atau lambang ternyata, atau apa-apa tiruan serupa mengenainya, dalam tajuk apa-apa paten, atau dalam apa-apa cap dagangan atau reka bentuk; atau membuat bagi maksud jualan atau menjual atau ada dalam miliknya untuk dijual, apa-apa lambang ternyata.

"Mana-mana pihak yang melanggar penggunaan Jata Persekutuan boleh didakwa dan dikenakan hukuman di bawah Akta 414 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 Seksyen 3 (1)," kata JPM.

Jata Negara adalah lambang rasmi kerajaan Malaysia yang diperkenan dan diwartakan oleh Raja-Raja Melayu pada 30 Mei 1952.

Sebuah buku yang menggunakan visual mirip Jata Negara mendapat perhatian kebelakangan ini apabila dikatakan menghina Jata Negara.

Berikutan itu, pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik membuat laporan polis dan menggesa tindakan tegas dikenakan terhadap pihak yang terbabit.

Berita berkaitan

Tindakan ubah suai Jata Negara biadab'

10 laporan polis kes hina Jata Negara

Tidak kompromi tindakan hina Jata Negara

Polis panggil pihak berkaitan buku hina Jata Negara

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 6:26 PM