Zatul Iffah Zolkiply

IBU tunggal bersama empat anak termasuk seorang berstatus orang kurang upaya (OKU) tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka di Kampung Pulau Duyong Kecil, Kuala Nerus, musnah dijilat api, hari ini.

Dalam kejadian 1.40 tengah hari itu, rumah pusaka didiami Rohaini Yusof, 52, musnah 100 peratus dengan kerugian dianggarkan bernilai RM50,000.

Rohaini berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika dia bersama empat anaknya berada di kawasan halaman rumah sebelum dia terlihat asap dari ruang tamu disusuli api besar membakar kediamannya.

"Saya nampak asap diikuti api dan terus beritahu jiran yang rumah terbakar sebelum suami kepada jiran menghubungi bomba.

"Kejadian berlaku terlalu pantas dan kami memang tak sempat nak selamat atau ambil apa-apa barang termasuk dokumen penting dan barangan berharga lain," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Mokhtar Dollah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada 1.44 tengah hari sebelum 23 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, pihaknya berdepan kesukaran kerana jalan terlalu sempit selain pili bomba berada pada jarak 120 meter dari tempat kejadian.

Katanya, api berjaya dipadam pada 2.04 petang dengan punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

ROHAINI bersama seorang anak kelainan upaya, Amira Natasya tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka hangus dijilat api di kampung Pulau Duyong Kecil. FOTO Ghazali Kori
ROHAINI bersama seorang anak kelainan upaya, Amira Natasya tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka hangus dijilat api di kampung Pulau Duyong Kecil. FOTO Ghazali Kori

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 7:06 PM