AZISMAN ketika sidang media Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di Bukit Aman. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
AZISMAN ketika sidang media Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di Bukit Aman. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Nurul Hidayah Bahaudin

JABATAN Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) membuat laporan polis, hari ini, berhubung kenyataan individu mempertikaikan pelaksanaan Operasi Tutup (Op Tutup) di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT 1) berdekatan Temerloh, Pahang, Ahad lalu.

Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai perkara itu selepas melihat video berdurasi lebih satu minit berkenaan tular di media sosial, beberapa hari lalu.

"Jika dilihat rakaman video terbabit, individu itu seolah-olah memperlekehkan penugasan kami yang dikatakan mengehadkan kebebasan anak muda melakukan hobi mereka iaitu bermotosikal secara berkumpulan.

"Selepas meneliti video berkenaan, kami termasuk pimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) merasakan wajar pihak JSPT membuat laporan berhubung perkara itu untuk tindakan lanjut," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

Azisman berkata, pihaknya melakukan operasi di lokasi terbabit selepas menerima maklumat awal menyatakan dianggarkan kira-kira 1,000 motosikal berada di lebuh raya berkenaan pada Ahad lalu.

Beliau berkata, sebaik menerima maklumat itu, pihaknya melakukan perancangan dengan kerjasama agensi lain bagi mengadakan operasi terbabit dan ia sama sekali tidak dilakukan sesuka hati.

"Malah, hasil operasi itu memperlihatkan banyak kesalahan dilakukan penunggang motosikal apabila 358 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

"Selain itu, 22 motosikal disita dan tujuh individu ditahan atas kesalahan menunggang secara berbahaya mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Beliau berkata, pihaknya membuat penjelasan mengenai perkara itu supaya masyarakat tidak keliru dengan dakwaan individu terbabit yang dilihat tidak wajar.

Katanya, jelas perkataan digunakan individu terbabit ada mempersoalkan tindakan PDRM dalam operasi itu dan seolah-olah memberi amaran kepada pihak polis.

"Di pihak JSPT, kami memandang serius mengenai penunggang motosikal memandangkan golongan itu penyumbang terbesar bagi kemalangan direkodkan setiap hari.

"Justeru, kami mengharapkan orang ramai memahami tugas dilakukan pihak JSPT dalam mengurangkan kes kemalangan terutama membabitkan motosikal melalui operasi dilakukan secara konsisten," katanya.

Berita berkaitan

Tiada brek, khayal dadah di LPT [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2020 @ 5:02 PM