Foto hiasan
Foto hiasan
Zatul Iffah Zolkiply

TANGISAN seorang kanak-kanak perempuan ketika badannya disentuh membongkar rahsianya yang dipercayai didera bapa tiri dalam kejadian di Manir di Kuala Terengganu, Isnin lalu.

Kejadian menimpa mangsa berusia lima tahun itu terbongkar ketika neneknya berusia 51 tahun memandikannya sebelum ternampak kesan lebam pada belakang badan pada 8 pagi.

Selain dipenuhi kesan lebam, mangsa turut menangis ketika neneknya menyentuh tubuhnya sambil mengadu sakit di seluruh badan.

Menurut sumber, wanita terbabit mengesyaki suspek yang juga warga Myanmar bertanggungjawab dengan apa yang berlaku terhadap cucunya.

Katanya, wanita terbabit mendakwa mangsa sering dipukul setiap kali tinggal di rumah bersama ibu dan bapa tirinya itu sehingga menyebabkan kanak-kanak itu takut bersama pasangan berkenaan.

"Tindakan suspek dipercayai menjadi punca mangsa mahu tinggal di rumah neneknya yang terletak berhampiran rumah ibu dan bapa tirinya.

"Susulan kejadian itu, wanita terbabit membuat laporan di Balai Polis Manir kerana tidak sanggup melihat cucunya berterusan menjadi mangsa.

"Suspek berusia 33 tahun kemudiannya ditahan polis di hadapan sebuah rumah di Manir pada 6 petang hari yang sama," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan mengenai kejadian itu.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2020 @ 12:27 PM