X
GAMBAR hiasan. FOTO Danial Saad
GAMBAR hiasan. FOTO Danial Saad
Nurul Hidayah Bahaudin


MAJORITI ibu bapa yang menyertai undian di Facebook (FB) dan Twitter Harian Metro memaklumkan mereka bersedia menghantar anak kembali ke sekolah pada 15 dan 22 Julai ini.

Setakat 12 tengah hari ini, sebanyak 67 peratus pengguna FB yang menyertai undian 'Adakah ibu bapa bersedia menghantar anak kembali ke sekolah' bersetuju manakala bakinya 33 peratus memilih tidak bersedia.

Undian dibuat di FB Harian Metro sejak semalam disertai 45,900 responden serta meraih 775 tanda suka.


Pemilik akaun FB menggunakan nama Ruzliana Ramlan memaklumkan dia yakin pihak sekolah akan melakukan terbaik untuk menjaga keselamatan murid.

"Insya-Allah saya yakin pihak sekolah terutama guru akan melakukan yang terbaik untuk menjaga keselamatan murid.

"Kita sebagai ibu bapa kena latih dan didik anak sementara sekolah belum bermula ketika ini. Doakan agar anak kita dilindungi dan dipermudahkan untuk menuntut ilmu dan fikir yang baik-baik," katanya.

Pendapat sama dikongsikan seorang guru, Nana Farhana, yang yakin golongan guru akan menjalankan tugas memastikan murid mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pembelajaran normal baharu.

"Ibu bapa kena jalankan tanggungjawab untuk pastikan anak dibiasakan dengan disiplin normal baharu.

"Ada dua minggu lagi untuk biasakan anak pakai pelitup muka, ajar cara basuh tangan dengan betul serta penjarakan sosial. Semoga mereka lebih bersedia apabila sekolah dibuka nanti," katanya.


Namun, ada segelintir ibu bapa tidak bersedia untuk menghantar anak mereka ke sekolah kerana bimbang terhadap penjarakan sosial dalam kalangan mereka.

"Tak tahu nak cakap apa. Kalau setuju, macam berat juga hati mahu katakan setuju, ya atau tidak kerana sangat risau.

"Apa lagi budak-budak ini susah nak jaga jarak. Semoga semua baik-baik sahaja. Insya-Allah," kata Shing Yang Thai Yang.

Sementara itu, 71 peratus daripada 1,380 undian di Twitter Harian Metro menunjukkan ibu bapa lebih 'excited' supaya anak kembali ke sekolah berbanding hanya 29 peratus memilih anak tidak sabar untuk kembali ke sekolah.

Semalam, Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan sesi persekolahan murid Tahun 5, Tahun 6, Tingkatan 6 Semester 1, kelas peralihan serta tingkatan 1 hingga 4 akan dibuka pada 15 Julai ini.

Bagi murid Tahun 1 hingga 4 pula sesi persekolahan akan bermula pada 22 Julai ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2020 @ 1:25 PM