Mohd Amin Jalil


KERAJAAN Negeri Sembilan membenarkan ibadah korban dilaksanakan pada Aidiladha ini namun perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Razali Ab Malik berkata, ia boleh diadakan di kawasan masjid dan surau serta beberapa tempat yang dibenarkan, tetapi ibadah itu tidak seharusnya dibuat pada hari raya pertama jika bilangan binatang yang hendak dikorbankan banyak.

Katanya, sebaliknya dicadangkan ibadah berkenaan dilakukan secara berperingkat dalam tempoh empat hari yang dibenarkan syarak, bagi mengelak kehadiran terlalu ramai pada majlis berkenaan.

"Selain itu, agihan daging korban hendaklah diserahkan kepada penerima tanpa penerima perlu hadir di lokasi majlis terbabit.

"Langkah ini diambil bagi mengelak kehadiran terlalu ramai yang hadir pada majlis korban sekali gus membendung penularan pandemik Covid-19," katanya di Seremban.

Dr Razali berkata, satu garis panduan akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat.

Katanya, Jabatan Perkhidmataan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) sedang mengkaji kaedah lebih terperinci bagi pelaksanaan ibadah korban pada Aidiladha akhir bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2020 @ 1:57 PM