SUSPEK ditahan bersama syabu 50.71 di Kampung Vietnam, Tanjung Batu, Tawau. FOTO Ihsan IPD Tawau
SUSPEK ditahan bersama syabu 50.71 di Kampung Vietnam, Tanjung Batu, Tawau. FOTO Ihsan IPD Tawau
Abdul Rahemang Taiming

SEORANG penghantar barangan "runner" mengaku menerima RM20 sebagai upah menghantar dadah selepas ditahan polis di Kampung Vietnam, Jalan Tanjung Batu, Tawau, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, suspek warga asing berusia 42 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan di kawasan itu menerusi operasi pada jam 11 pagi.

Katanya, ketika cuba ditahan suspek bertindak melarikan diri apabila menyedari kehadiran polis, namun berjaya ditangkap selepas berlaku pergelutan.

"Pemeriksaan fizikal ke atas suspek berjaya menemui lima paket plastik berisi ketulan hablur dipercayai syabu seberat 50.71 gram dianggarkan bernilai lebih RM5,000 ditemui dalam poket seluar jeans yang dipakainya," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Peter berkata, berdasarkan keterangan suspek, dia mendakwa hanya mengambil upah RM20 daripada seorang individu sebelum menghantar barang itu kepada pembeli lain di kampung terbabit.

Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

"Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan beberapa lagi individu dipercayai dalang sindiket penngedaran dadah terbabit selain bagi mengetahui sumber diperolehi," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur dan Seksyen 15(1), akta sama atas kesalahan penagihan dadah.

Keterangan gambar:

TAWAU 2 JULAI 2020. Suspek ditahan bersama syabu 50.71 di Kampung Vietnam, Tanjung Batu, di sini, 11 pagi semalam. Nstp / Ihsan IPD TAWAU.

From: Abdul Rahemang

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2020 @ 2:10 PM