Hafidzul Hilmi Mohd Noor dan Ruwaida Md Zin


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 30.1 juta batang rokok seludup dianggarkan bernilai RM12.04 juta yang dibawa masuk sindiket menerusi Pelabuhan Utara di sini, 25 Jun lalu.

Terdahulu, sindiket penyeludupan rokok terbabit membuat pengikraran palsu terhadap tiga kontena berisi rokok terbabit.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Johari Alifiah berkata, sindiket itu mengikrar barang dalam Borang Kastam 1 (import) Dagangan sebagai plat besi dan dawai.

"Operasi jam 11.30 pagi itu dijalankan Unit Siasatan Dalaman (USD) JKDM. Hasilnya, kami menemui pelbagai jenis rokok seludup jenama John D-Blend, John JGI dan Boss Blend.

"Kami turut menahan dua lelaki selain menyiasat seorang ejen kastam yang disyaki terbabit dalam kegiatan ini," katanya pada sidang media di Wisma Kastam di Pelabuhan Klang, hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Johari Alifiah (tengah) menunjukkan rokok yang dirampas sindiket penyeludupan rokok rentas sempadan pada sidang media di Ibu Pejabat Wisma Kastam Selangor, Pulau Indah. FOTO FAIZ ANUAR
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Johari Alifiah (tengah) menunjukkan rokok yang dirampas sindiket penyeludupan rokok rentas sempadan pada sidang media di Ibu Pejabat Wisma Kastam Selangor, Pulau Indah. FOTO FAIZ ANUAR

Menurut Johari, siasatan mendapati, rokok terbabit dibawa masuk dari China.

Johari berkata, pihaknya masih mengesan beberapa individu yang ada kaitan dengan rampasan berkenaan untuk pendakwaan di mahkamah.

"Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976," katanya.

Maklumat berkaitan kegiatan haram ini boleh disalurkan ke talian bebas tol 1 800 88 8855.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2020 @ 2:13 PM