PERALATAN memasak dan air ketum yang dirampas. FOTO Ihsan Pembaca
PERALATAN memasak dan air ketum yang dirampas. FOTO Ihsan Pembaca
Amirul Aiman Hamsuddin


JADIKAN rumah di kawasan kampung sebagai lokasi sulit untuk merebus dan memasak daun ketum bagi pasaran sekitar Kuala Langat.

Itu tindakan sekumpulan empat lelaki membabitkan pemandu lori, peniaga dan seorang pelajar sekolah menengah yang diberkas polis di sebuah rumah di Kampung Sijangkang, Telok Panglima Garang, di Banting, Selasa lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner Abd Latiff Mehat berkata, semua suspek berusia 17 hingga 34 tahun itu ditahan sepasukan polis kira-kira 6.30 petang.

Menurutnya, hasil pemeriksaan dilakukan, pihaknya merampas 18 liter air ketum, 60 kilogram daun ketum dan peralatan memasak ketum di kediaman itu.

"Nilai kesemua rampasan dianggarkan sekitar RM780. Polis percaya air rebusan ketum yang dihasilkan itu kemudian dijual kepada pelanggan.

"Hasil semakan mendapati semua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau selain hasil ujian air kencing negatif," katanya.

Menurutnya, semua suspek ditahan reman selama tiga hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

"Suspek boleh dituduh mengikut Seksyen 30(5) Akta Racun 1952 yang membawa hukuman denda maksimum RM 10,000 atau penjara sehingga empat tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2020 @ 6:51 PM