HUZIR MOHAMED
HUZIR MOHAMED
BERNAMA

POLIS sudah ada senarai nama lengkap rakyat Malaysia dikuarantin 14 hari di rumah selepas pulang dari luar negara yang gagal menjalani ujian saringan Covid-19 kali kedua.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya akan mula mengesan mereka dalam masa terdekat.

"Oleh itu mereka dinasihatkan untuk tampil segera memberi kerjasama sepenuhnya kepada Kementerian Kesihatan untuk menjalani ujian saringan kali kedua.

"Polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan atas kedegilan dan kegagalan mereka untuk hadir membuat ujian saringan kali kedua," katanya.

Beliau berkata mereka yang ingkar boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 22(b) Akta 342 dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No 7) pindaan (2020).

Hari ini Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan meminta 620 orang yang dikenakan kuarantin rumah dan masih gagal menjalani ujian saringan kali kedua Covid-19 pada hari ke-13 kuarantin, untuk berbuat demikian sebelum dikenakan tindakan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2020 @ 7:14 PM