MUHYIDDIN YASSIN
MUHYIDDIN YASSIN
BERNAMA

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan Malaysia akan terus memberi sokongan padu kepada perjuangan rakyat Palestin dan menggesa masyarakat antarabangsa khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar segera mencari penyelesaian terbaik kepada pelan damai di wilayah itu.

"Marilah bersama-sama kita berdoa agar permasalahan dan persengketaan di wilayah bergolak itu dapat diselesaikan secara aman. Insya-Allah.

"Pada kesempatan ini, saya ingin menegaskan bahawa Malaysia akan terus memberi sokongan padu kepada perjuangan rakyat Palestin.

"Saya menggesa masyarakat antarabangsa khususnya PBB agar segera mencari penyelesaian terbaik kepada pelan damai di wilayah itu," katanya dalam catatan laman Facebook (FB) miliknya, hari ini.

Beliau berkongsi empat keping gambar dan catatan menerima kunjungan hormat daripada Pengerusi dan Pengasas Yayasan MyAQSA, Suwardi Yaacob serta barisan delegasi yayasan itu di pejabatnya.

Muhyiddin berkata, beliau diberikan penerangan berhubung MyAQSA yang ditubuhkan pada 2017 pada pertemuan kira-kira satu jam itu.

"Alhamdulillah, saya sangat berbangga dengan komitmen dan usaha berterusan MyAQSA dalam mendidik masyarakat tentang konflik Israel-Palestin dan kepentingan Masjidil Aqsa yang juga satu daripada tiga masjid paling utama dalam Islam selepas Masjidil Haram dan Masjid Nabawi," menurut catatan itu.

Muhyiddin berkongsi bahawa delegasi berkenaan turut menjelaskan mengenai penglibatan MyAQSA di peringkat antarabangsa khususnya dalam kes Jenayah Perang Zionis Israel ke atas Palestin di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) serta perlanggaran Resolusi 2334 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurut Muhyiddin, Malaysia menerusi MyAQSA adalah satu-satunya organisasi dari rantau Asia yang berani memfailkan bantahan terhadap kekejaman Zionis Israel di ICC.

"Sepertimana harapan saya, MyAQSA ingin melihat Malaysia memainkan peranan lebih besar dalam usaha memperkukuhkan kesatuan masyarakat Palestin dalam mendepani cabaran hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2020 @ 7:57 PM